Saturday, March 27, 2010

offline news

Sebutan kes perbicaraan di bawah seksyen 39B ADB 1952

25 Mac 2010, Mahkamah Tinggi Shah Alam-Sebutan kes melibatkan pihak pendakwaraya, TPR En. Alfred Egin menyabitkan kesalahan atas tertuduh iaitu Ng Geok Ying, Muhd Norman bin Mohd Tahir, Mohd Fakrul bin Abdul Rahman, Isromainor bin Rosman dan Mohd Hafiz bin Radingan. Tarikh penangkapan bagi keempat-empat tertuduh adalah 28/08/09. Tertuduh telah disabitkan kesalahan dibawah Seksyen 39B ADB 1952 yakni kesalahan pengedaran dadah berbahaya. Tertuduh disabitkan dalam aktiviti pengedaran dadah termasuklah, mengedarkan dadah berbahaya, menawar untuk mengedar dadah berbahaya, melakukan, menawar, melakukan sesuatu perbuatan sebagai persediaan untuk pengedaran dadah bebahaya. Hukuman yang disabitkan bagi tertuduh adalah hukuman mati mandatori. Tertuduh boleh ditangkap tanpa waran atau dengan waran. Tertuduh juga boleh ditahan walaupun penyiasatan atau dakwaaan belum dipersetujui oleh pendakwaraya.

Friday, March 19, 2010

ulasan filem Orphan



Orphan lakonan Vera Farmiga, Peter Sarsgaard, Isabelle Fuhrman, dan Jimmy Bennet adalah sebuah filem seram,meruntun psikologi, mendebarkan serta penuh dengan adegan-adegan cemas.
Karya Jaume Collet-Serra ini mengisarkan tentang sepasang suami isteri yang membuat keputusan untuk mengambil anak angkat setelah mengalami kehilangan bayi dalam kandungan mereka. Esther, budak perempuan berumur 9 tahun yang diambil menjadi anak angkat mereka tersebut adalah seorang budak yang penuh dengan misteri.Kehadirannya dalam keluarga tersebut jelas adalah permulaaan bagi episod hitam yang bakal melanda.

Filem ini adalah filem yang tergolong dalam kategori psychological thriller di mana ia mengangkat watak kanak-kanak sebagai watak jahat serta tidak berhati perut. Walaupun telah ada beberapa filem yang seakan-akan serupa dengan filem ini, Orphan jelas mempunyai kekuatan sendiri.

Dari segi lakonan,lakonan Isabella Fuhrman sebagai Esther memberi impak yang cukup besar. Walaupun masih kecil, beliau jelas menjiwai watak dan melakonkannya dengan baik. Penonton pasti berasa geram melihat wajah comel sebegitu berkelakuan kejam tanpa belas kasihan. Isabella berjaya bermain dengan ekpresi muka manis,matang,dingin yang bertukar-tukar dalam waktu-waktu yang berbeza.Perkara ini sangat memberi kesan terhadap jalan ceritanya. Lakonan oleh aktor dan aktres lain turut boleh dibanggakan namun yang betul-betul boleh diberi pujian tinggi adalah Isabella.

Dari segi jalan cerita pula, Jaume Collet telah berjaya mengekalkan sebuah plot yang memberi ketegangan berkekalan sepanjang cerita. Tidak seperti filem thriller biasa, Orphan mempunyai jalinan plot yang membuatkan penonton tertanya-tanya dan berdebar-debar. Walaupun ada sedikit plot boleh diagak, namun ia tetap membuat penonton cemas dan terkejut kerana adegan-adegan suspens tersebut dimasukkan pada waktu yang tidak disangka-sangka.Jaume Collet seolah-olah dapat memperdaya penonton tentang apa yang dijangkakan oleh mereka.Secara keseluruhan, elemen ketegangan berjaya dikekalkan dari mula sehingga hujung filem dan ia adalah penting bagi sebuah filem thriller.

Pengakhiran atau ending filem ini juga begitu ironi dan twisting sekali. Ia boleh membuat sesetengah penonton bengang namun memberi kelainan dan impak tersendiri.

Dari aspek kelemahan pula,bagi saya Jaume Collet telah tercicir untuk membiarkan penonton mendalami watak Esther dengan ketiadaan penjelasan lanjut terhadap siapakah Eshter itu sebenarnya. Namun ini mungkin helah Jaume Collet untuk membiarkan penonton tertanya-tanya. Tetapi bagi saya ia tetap tidak cukup, penjelasan tentang watak Eshter harus diperkemaskan lagi.

Secara keseluruhan, Orphan adalah sebuah filem thriller yang berbaloi untuk ditonton lebih-lebih lagi bagi penggemar filem thriller. Ia mempunyai kekuatan tersendiri yang membezakannya dengan filem-filem biasa lain dan tidak rugi untuk dijadikan koleksi peribadi.

Monday, March 15, 2010

sedikit terkilan




Pemain badminton nombor 1 dunia, Datuk Lee Choong Wei telah berjaya memenangi Kejuaraan Seluruh England. Pada aksi final semalam,Lee Choo Wei diberi tentangan sengit daripada sensasi muda Jepun,Kenichi Tago sebelum menang straigt set 21-19 21-19.
Pencapaian ini mengulang kejayaan Hafiz Hashim yang turut memenangi gelaran tersebut pada 2003.
Namun,secara jujur saya berasa Lee Choong Wei sendiri berasa sedikit terkilan kerana tidak dapat bertemu Lin Dan pada final kerana Lin Dan telah tersingkir pada saingan suku akhir.
Beliau seakan mahu membuktikan sesuatu dengan mengalahkan Lin Dan yang memegang rekod megah apabila bertentangan dengan beliau.
Mengalahkan Lin Dan pada pentas akhir dilihat sebagai senario yang terbaik dan memberi lebih kepuasan.
Namun,saya yakin beliau juga turut berasa lega kerana telah berjaya memenangi gelaran berprestij itu dan mengukuhkan statusnya sebagai pemain nombor 1 dunia.

Saturday, March 13, 2010

Karnival sungai Klang 2010

14 Mac-Karnival Sungai Klang telah berlangsung di Taman Pengkalan Batu semalam dan akan disambung hari ini.
Sultan Selangor, Tuanku Sultan Sarafuddin Idris Shah turun padang mencemar duli bagi merasmikan majlis tersebut dengan melepaskan peserta Larian Bandar Diraja.
Banyak juga acara lain turut disediakan seperti pertandingan memancing dan flying fox. Saya hanya lalu melepasi kawasan tersebut dan tidak bersinggah kerana dalam perjalanan untuk berjogging.
Dan seperti biasa, apabila Sultan mencemar duli akan turut bersama mengiring adalah ratusan polis yang menjaga keadaan.
Sempat ternampak juga kelibat seorang polis yang pernah meminta rasuah seketika dahulu.
Karnival tersebut turut mengundang artis-artis popular termasuk pemenang juara lagu baru-baru ini iaitu Aizat.
Karnival ini sebenarnya adalah antara beberapa acara yang dianjurkan kerajaan negeri bersempena sambutan Ulang Tahun Kedua Pakatan Rakyat di Selangor.
Pembangunan di pesisir Sungai Klang dijadikan persoalan utama di dalam pakej rangsangan ekonomi.
Saya berharap pembangunan Klang akan dapat ditingkatkan kerana Klang semakin maju dan telah menjadi sebuah kota yang padat serta semakin tidak selesa untuk dihuni.
Pembangunan yang diharapkan bukan sekadar pada usaha meningkatkan teknologi.
Malah saya harap pihak yang berkenaan dapat meningkatkan martabat Klang dengan mengurangkan kemasukan rakyat Indonesia kerana bandar Klang sekarang tidak ubah seperti Jakarta ii.

Saturday, March 6, 2010

Trend membuang bayi menggugat bangsa

Baru-baru ini,lagi seorang bayi dijumpai mati akibat dibuang oleh manusia yang kejam dan tidak bertanggungjawab.
Bayi malang tersebut dijumpai di kawasan Kuching, Sarawak.
Perbuatan membuang bayi ini telah menjadi seperti perkara biasa kerana ianya semakin rancak sejak akhir-akhir ini.
Apa yang merisaukan ialah impak yang diberi kepada mentaliti bangsa dan rakyat negara kita.
Bila hari-hari kita mendengar kes buang bayi,lama-lama tidak mustahil ia akan menjadi seperti perkara biasa,walaupun sebenarnya ia adalah perbuatan yang luar norma manusia berakal.
Masyarakat akan melihat ia sebagai tidak lagi di luar kewarasan dan akibatnya lebih ramai manusia di luar sana akan terjebak untuk melakukan perkara yang sama kerana menganggap ia hanya perkara biasa dan dosa kecil.

Apakah sebenarnya yang menyebabkan mereka ini menjadi begitu kejam dan tidak berhati perut?
Adakah nilai-nilai kemanusian telah luntur di kalangan masyarakat?
Sesuatu harus dilakukan agar perkara ini tidak secara perlahan-lahan menjadi kebiasaan di masyarakat kita.

Thursday, March 4, 2010

toleransi melayu?

1 Mac-Majlis Penyerahan Buku Amanat Presiden Umno anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Dewan Sri Impiana Hotel Uitm Shah Alam.
Majlis turut menampilkan forum dan bual bicara bertajuk "Toleransi Melayu".
Majlis diacarakan Dato' A Kadir Jasin berserta dua panel iaitu Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim dan Prof Dr Zainal Keling.
Sebagai pembuka majlis, sedikit kata-kata aluan disampaikan oleh Pengerusi Majlis.
Kehadiran ramai audiences menunujukkan bahawa Majlis Penyerahan Buku Amanat ini telah menerima sambutan yang memberangsangkan.
Setelah selesai ucapan aluan,
majlis diteruskan dengan upacara utama iaitu penyerahan Buku Amanat.
Buku Amanat diserahkan pada wakil setiap universiti dengan penuh prestij.
Himpunan buku "Amanat Presiden Umno" ini adalah karya Berita Publishing dengan kerjasama Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad Universiti Utara Malaysia dan Yayasan Kepimpinan Perdana.
Setelah selesai upacara Penyerahan Buku Amanat,
majlis diteruskan dengan bual bicara yang mengenengahkan "Toleransi Melayu" sebagai tajuk.
Panel pertama,Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim banyak bercerita tentang asal usul melayu dan salasilah kedatangan bahasa melayu.
Beliau juga banyak menyelitkan tentang sejarah tokoh kepimpinan negara pada masa dahulu.
Panel kedua, Prof Dr Zainal Keling pula dilihat banyak berkata tentang toleransi melayu itu sendiri.
Beliau mempersoalkan tentang toleransi oleh melayu dengan kaum lain yang dilihat sebagai terlalu berlebihan dan tidak membawa faedah kepada bangsa melayu.
Prof Dr Zainal juga sangat sinikal terhadap konsep 1 Malaysia yang disifatkan sebagai tidak lengkap.

Bagi saya sendiri,kaum melayu sudah lama mengamalkan konsep bertoleransi dengan kaum lain. Jika dilihat pada zaman-zaman dahulu, sikap toleransi ini dilihat keterlaluan sehingga kadang-kala semacam membenarkan maruah melayu dipijak.
Sudah tiba masanya kaum melayu bersifat lebih tegas agar tidak ditindas. Kita boleh bertoleransi, tetapi toleransi itu sendiri juga ada hadnya. Ada sesetengah isu kita boleh bertolak ansur dan ada sesetengah isu yang kita memang tidak boleh bertolak ansur malah harus dibantah keras.
Pertelingkahan yang berlaku berkenaan dengan isu kalimah Allah baru-baru ini, walaupun dilihat sebagai negatif kerana memperlihatkan melayu sebagai bangsa yang suka bertindak ganas berikutan pembakaran beberapa buah gereja, namun ianya adalah tanda bahawa melayu tidak akan bertoleransi dengan kaum lain jika ianya melampaui batas.
Tidak bermaksud saya menyokong perbuatan itu, tetapi sekurang-kurangnya kaum melayu memperlihatkan usaha untuk mempertahankan hak melayu dan Islam.
Jadi ia adalah penyataan pada pihak di luar sana bahawa melayu sudah selesai bertoleransi,sudah selesai bertolak ansur,dan sudah selesai memberi muka.
Mengenai konsep 1 Malaysia,pada pendapat ikhlas saya ianya adalah sekadar indah khabar dari rupa atau retorik kosong.Usaha untuk merapatkan kaum melalui konsep ini harus dipuji namun pada pandangan saya, kaum melayu yang dilihat beriya-iya mahu menjayakannya semetara kaum lain sekadar acuh tidak acuh.
Jadi persoalan harus ditanya, adakah ini dinamakan toleransi.
Toleransi adalah istilah dalam konteks sosial, budaya dan agama yang membawa maksud sikap dan perbuatan yang melarang adanya diskriminasi terhadap kelompok-kelompok yang berbeza atau tidak dapat diterima oleh suatu masyarakat.
Namun konsep utama toleransi ini adalah tolak ansur dari dua pihak.
Jika tolak ansur hanya ditunjukkan oleh sebelah pihak,
ia bukanlah tolenrasi.
Jadi,fikir-fikrlah.