Thursday, February 25, 2010

langgar lari

25 Febuari
Jam menunjukkan kira-kira 15 minit selepas 12 pagi apabila saya dan rakan saya menuju pulang ke rumah.
Kami baru sahaja menghadiri majlis hari jadi seorang rakan di Shah Alam dan terasa sangat letih.
Apabila tiba di hadapan Crystal Crown Hotel Klang, jalan yang biasa kami gunakan dikerumuni oleh ramai orang dan kami tidak dibenarkan menggunakan jalan tersebut.
Dalam hati sudah boleh agak, pasti ada kematian berlaku akibat kemalangan, kerana jumlah yang berhenti menonton adalah sangat ramai.
Kami pun terus meletakkan kenderaan dan terus ke tempat kejadian.
Seorang lelaki berbangsa India kelihatan sedang terbaring di atas jalanraya dan ditutup oleh tuala putih.
Ya,dia sudah tidak bernyawa lagi.
Ketika kami di lokasi, ambulans dan polis belum tiba lagi menandakan bahawa kemalangan baru sahaja berlaku.
Motor mangsa tercampak jauh dari mayat yang dipercayai terseret akibat perlanggaran dengan sebuah kereta yang telah melarikan diri.
Menurut sumber, lelaki berkenaan dikatakan baru sahaja selesai bermain futsal dan menunggang motor untuk ke kedai.
Rakan-rakannya menjadi hairan apabila beliau tidak tiba, dan akhirnya menjumpai dia terbaring di situ.
Setelah beberapa seketika,saya mencapai kamera DSLR di dalam kereta dan menangkap beberapa gambar di tempat kejadian.
Tidak lama kemudian, keluarga mangsa tiba dengan berkaki ayam.
Keadaan menjadi hiba apabila keluarga mangsa meraung kesedihan.
Polis dan ambulans tiba dan orang ramai diarahkan supaya memberikan ruang untuk mereka melakukan kerja.
Setelah memerhati sedikit sebanyak,saya dan rakan saya menyambung perjalanan pulang kerana ingin mengulang kaji untuk mid term test pagi itu.


Saturday, February 20, 2010

mentaliti masyarakat malaysia masih lagi di takuk lama

Sepanjang percutian, banyak tempat telah saya pelopori.
Saya pergi ke satu tempat ke tempat lain untuk menyiapkan tugasan photo communication.
Tugasan yang memerlukan saya untuk menjelajah.
Walaupun tidak jauh mana saya jelajah,tetapi banyak yang dipelajari.
Kadang-kadang tempat yang dekat pun kita tidak pernah cuba jelajah,sibuk dengan tempat yang jauh-jauh.
Tetapi apa yang saya mahu tekankan kali ini adalah bagaimana rata-rata masyarakat Malaysia yang mentalitinya masih di takuk lama.
Ini kerana apabila saya berjalan di tempat-tempat umum membawa kamera dslr untuk mengambil gambar, ramai yang masih memberikan pandangan aneh.
Seolah-olah saya melakukan kesalahan.
Tidak kurang juga yang tersenyum dan tertawa kecil.
Paling teruk, pernah ada sekumpulan manusia yang menyindir dari jauh.
Saya menjadi hairan.
Bukannya saya berlagak hebat membawa kamera tersebut.
Ianya tugasan dan tanggungjawab saya.
Sama juga dengan orang yang menjadikan ia sebagai satu pekerjaan.
Ia adalah tanggungjawab dan tempat mencari rezeki.
Tetapi masyarakat Malaysia masih lagi memandang aneh.
Jika saya berada di California misalnya,
Saya percaya tidak seorang pun akan memberikan pandangan sebegitu.
Jadi saya dapat simpulkan bahawa masyarakat Malaysia sebenarnya masih ketinggalan Dari aspek pemikiran berbanding negara-negara membangun yang lain.

Tuesday, February 16, 2010

Tragedi Ngeri

Rakan saya dalam perjalanan pulang menaiki KTM Ahad lalu apabila tiba-tiba terasa seperti keretapi tersebut terlanggar sesuatu di Stesen Teluk Pulai.Selepas beberapa minit meneruskan perjalanan, pemandu KTM berkenaan akhirnya sedar darah yang banyak berlumurun di hadapan keretapi. Pemandu itu terus berpatah balik dengan mengundurkan keretapi ke stesen di mana kejadian aneh telah berlaku sebentar tadi. Alangkah terkejutnya apabila mendapati seorang yang dipercayai agak berusia telah mati digilis. Kejadian tersebut berlaku kira-kira 7 malam. Polis terus dipanggil ke tempat kejadian bagi menguruskan hal tersebut. Rakan saya turut terlibat dalam mengutip cebisan-cebisan daging kepunyaan mangsa yang mana identitinya terpaksa dirahsiakan. Tragedi ini menerbitkan persoalan mengenai keselamatan pengguna. Mangsa terpaksa melintas di laluan keretapi kerana tidak mempunyai kekuatan untuk menggunakan jejantas yang disediakan atas faktor usia. Pihak KTM sepatutnya lebih prihatin dan sewajarnya menyediakan perkhidmatan khas untuk warga kurang upaya seperti lif untuk melintas landasan di setiap stesen dan bukan di sesetengah stesen sahaja. Keluarga mangsa juga turut patut dipersalahkan kerana tidak menjaga mangsa, seorang warga emas yang wajar diberi perhatian penuh.

Saturday, February 13, 2010

pesan Muhammad Ali kepada anaknya Hana

Hana adalah seorang wanita yang suka berpakaian mendedahkan aurat.
Sesuatu hari, Muhammad Ali telah berkata pada anak gadisnya tersebut.

.......................................................................................
"Dimanakah anda menjumpai permata,tentu terbenam dan tersorok di bawah tanah yang dalam.
Dimanakah anda menjumpai mutiara,tentulah di dasar lautan dan tersembunyi di dalam cengkerang.
Dimanakah anda menjumpai emas,tentulah tersorok di lombong serta dilapisi pelbagai lapisan batu.

Hana,Tuhan jadikan semua benda berharga itu terjaga dan tertutup. Badan kamu adalah anugerah dan ianya lebih berharga daripada permata,mutiara mahupun emas"
.......................................................................................

Hargailah tubuh badan anda sesungguhnya ianya sangat berharga dan adalah anugerah daripada Allah. Jagalah ia dari pandangan dan berilah ia penghormatan yang sepatutnya.


*credit to Syaf for your great insight.

Thursday, February 11, 2010

Perjalanan ke kelas umpana permainan video

Pagi kelmarin aku memulakan perjalanan untuk ke kelas seperti biasa dengan menunggang motosikal.
Keluar awal pagi tu jadi bawak motor perlahan, tak perlu terburu-buru.
Aku menghidupkan enjin dan terus berlalu sambil mengucap Bismillah.
Tiba di jalan besar, aku bertarung dengan segala lori kontena,maklumlah jalan di pelabuhan.
Memang dipenuhi oleh lori-lori berbanding kereta dan kenderaan lain.
Sampai di flyover, tiba-tiba sekeping papan plywood terbang dari sebuah lori.
Sedikit lagi nak kena aku, nasib baik sempat mengelak.
Perjalanan diteruskan.
Ketika turun dari flyover, sebuah lori kontena depan aku tiba-tiba break kecemasan yang membuatkan kenderaan itu terseret jauh dan hampir melanggar kereta depan.
Mujur aku sempat break kecemasan juga. Nyaris-nyaris nak langgar belakang kontena terbabit.
Memang salah pemandu tersebut.
Pandu laju seperti berlumba ke lubang neraka.
Setelah memberi isyarat berbaur offensive yang patut kepada kontena terbabit, aku meneruskan perjalanan.
Harap-harap selepas ini tiada lagi kejadian tidak menarik.
Sangkaan aku meleset.
Tiba di Klang, sebuah lori Atlast memandu seperti sebuah ambulan yang sedang kecemasan.
Dan,dengan jalan di Klang dihiasi lubang pelbagai variasi dari segi saiz, kedalaman mahupun bentuk, aku hampir-hampir terjatuh lagi apabila terlanggar lubang gara-gara mengelak lori Atlast tersebut.

Perjalanan ke kelas diteruskan.
Di atas motor, aku berzikir serba sedikit daripada tidak buat apa-apa. Dapat juga pahala sedikit.
Tiba di hadapan Uitm, aku mengucap kesyukuran kerana selamat sampai.
Ketika mahu masuk pintu, pengawal keselamtan melemparkan pandangan sinis akibat motosikalku yang tidak mempunyai pelekat Uitm.
Aku terus memecut.Tiada mood untuk disaman hari ini.
Akhirnya sampai ke fakulti.
Aku meletakkan motosikal di mana yang patut dan terus berjalan ke kelas.
Susah juga rupanya mahu menimba ilmu

Monday, February 8, 2010

Uniknya Malaysia

Bayangkan anda baru sahaja turun dari kapal terbang dan menjejakkan kaki di negara China. Apakah yang anda dapat perhatikan? Bagaimanakah suasana yang dapat anda rasakan? Adakah persamaan atau perbezaan yang dapat dikesan oleh anda dalam masa sedetik itu? Mungkin ianya berbeza.Ini kerana setiap komuniti di ceruk-ceruk setiap negara mempunyai keunikan tersendiri. Setiap negara mempunyai identiti dan imej masing-masing. Malaysia, tanah air kita juga mempunyai identiti dan imej yang unik berbanding negara-negara lain.Pelancong daripada negara lain juga akan merasakan benda yang sama juga apabila memijak bumi Malaysia buat kali pertama. Mereka akan kagum serta terpesona dengan kelainan negara kita ini.

Keunikan utama yang dapat diperhatikan secara jelas adalah negara Malaysia sebagai negara berbilang bangsa. Corak bangsa di Malaysia yang jelas adalah 3 bangsa iaitu Melayu, India dan Cina. Selain daripada 3 bangsa majoriti tersebut, banyak lagi kaum-kaum lain serta etnik-etnik yang pelbagai menghuni negara ini. Perkara ini tidak dapat dilihat di negara lain seperti China misalnya, rata-rata penduduknya adalah berbangsa sama iaitu China. Apa yang membuatkan ianya unik adalah penduduk berbilang kaum di Malaysia ini menjumpai jalan dan cara bagaimana untuk hidup dalam harmoni walaupun berbeza fahaman serta agama. Perkara ini adalah penting dalam pembentukan sesebuah negara kerana kerjasama antara bangsa boleh diumpamakan seperti cerucuk besi yang menguatkan tiang sesebuah negara.

Perpaduan antara kaum dapat dilihat dengan ketara apabila tibanya musim perayaan seperti Hari Raya, Krismas, Deepavali mahupun perayaan tahun baru cina. Apabila tibanya salah satu daripada perayaan tersebut, setiap sudut dan ceruk di Malaysia menjadi meriah dan ceria. Kadang-kala rasa seperti semua kaum turut merayakan perayaan kaum lain. Sebagai contoh, banyak masyarakat-masyarakat lain seperti India yang berbangsa Hindu atau Kristian turut mengunjungi rumah masyarakat Melayu ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri. Ini tidak menjadi kesalahan kerana mereka tidak melanggar hukum-hukum agama malah dilihat sebagai amalan mulia yang merapatkan masyarakat.




Kecuali agama, banyak perkara-perkara lain boleh dianggap sebagai perkongsian budaya antara masyarakat Malaysia. Contohnya roti canai dan kari telah menjadi santapan setiap bangsa walaupun rata-rata yang menyediakannya adalah kaum India, ketupat dan lemang turut diminati oleh kaum-kaum lain selain Melayu, senaman Taichi bukan lagi dipraktikkan oleh kaum Cina sahaja. Masyarakat Malaysia sebenarnya secara tidak langsung berkongsi budaya dengan kaum-kaum lain. Ianya bukan budaya Cina,budaya India mahupun budaya Melayu. Ia dipanggil “Budaya Malaysia” . Ini kerana mereka telah membentuk budaya baru dalam masyarakat Malaysia yang boleh dikongsi bersama.

Jika diperhatikan di kawasan-kawasan kampung misalnya, kanak-kanak Melayu, Cina dan India tidak mengamalkan isu perkauman dalam diri mereka. Meraka bermain bola bersama-sama, pergi memancing sama-sama dan makan bersama-sama. Kredit harus diberikan kepada ibubapa mereka yang tidak melihat perbezaan kaum juga sebagai halangan untuk berkawan. Mungkin pada individu kanak-kanak itu sendiri, mereka masih kecil untuk mempunyai perasaan perkauman serta tidak cukup matang untuk memikirkan soal perbezaan jati diri. Namun perkara inilah yang menjadikan kanak-kanak tersebut begitu mesra dan tidak segan untuk bercampur dengan bangsa lain. Perkara ini bila dididik sejak kecil, ianya akan menjadi lali apabila sudah dewasa kelak. Perpaduan kaum haruslah diterap sejak kecik lagi.

Perdana menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak sejak dilantik sebagai pemimpin negara telah memperlihatkan usaha untuk merapatkan lagi bangsa-bangsa di negara ini dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia. Konsep 1Malaysia yang membawa slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” adalah satu langkah yang dilihat dapat mengekalkan keharmonian antara kaum di Malaysia. Isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama masing-masing haruslah ditangani dengan baik demi keamanan bersama.

Tidakkah anda terasa bangga apabila berjalan-jalan di taman perumahan anda, anda terlihat orang Melayu dan Cina bermain bola bersama-sama di padang. Berjalan ke depan lagi anda terserempak dengan seorang India yang sedang menolong membaiki kereta jirannya yang berbangsa Singh. Kemudian ternampak pula anak-anak kecil berbeza-beza bangsa bermain pasir bersama-sama. Pemandangan-pemandangan indah tersebut menggambarkan apa itu Malaysia sebenarnya. Jadi lupakan sahaja niat anda untuk terbang ke negara China seperti di perenggan awal tadi dan nikmatilah keindahan negara sendiri dahulu. Bak kata pepatah “Hujan emas di negeri orang,hujan batu di negri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri”

Sunday, February 7, 2010

makna sebuah undi

28 Januari ysng lalu,pilihanraya untuk pemilihan MMP(Majlis Perwakilan Pelajar) telah berlangsung d setiap fakulti Uitm Shah Alam. Fakulti Pengajian Media dan Komunikasi juga turut tidak ketinggalan dengan menjalankan proses pilihanraya di mana 5 calon bertanding untuk kedudukan MPP tersebut. 5 calon yang terdiri daripada 4lelaki dan seorang perempuan adalah Faiz, Azam, Tasriq,Izat dan Ain.

Fenomena undi-mengundi ini sebenarnya kita boleh lihat sejak dari dulu lagi telah dipraktikan di mana ianya menekankan tentang suara orang ramai atau keputusan majoriti daripada masyarakat. Pilihanraya yang dibuat di universiti-universiti dilihat sebagai langkah yang bagus di mana ia mendidik remaja-remaja supaya keluar mengundi dan secara tidak langsung membiasakan diri mereka dengan suasana mengundi. Ini kerana apabila mereka telah cukup umur dan layak, mereka akan mengundi pada pilihanraya yang lebih besar iaitu menentukan bakal kepimpinan negara. Jadi pilihanraya yang dibuat di universiti-universiti ini boleh dikatakan sebagai tapak untuk mereka berkecimpung dalam pilihanraya.

Pentingkah sebuah undi itu? Adakah dengan sebuah undi,seseorang itu boleh mengubah keputusan pilihanraya tersebut. Bagi saya, jawapannya ya. Jika semua orang mempunyai pemikiran bahawa sebuah undi itu tidak akan membawa apa-apa signifikan atau kesan,maknanya mentaliti mereka adalah salah dan tidak kena. Ini kerana mengundi itu adalah tanggungjawab kita sebagai penghuni dalam komuniti. Kita sewajarnya menyuarakan pendapat kita dan menentukan siapa yang kita fikir layak. Sebuah undi boleh memberi perbezaan bagaimana masa depan kita dicorakkan.

Wednesday, February 3, 2010

Skandal seks ikon sukan

Cerita mengenai hubungan sulit seseorang mungkin adalah perkara lama serta dianggap biasa.Namun apabila ianya melibatkan sesorang yang berprofil tinggi, perkara ini menjadi tatapan saentero dunia dan menyebabkan si pelaku curang mengalami kesan yang dahsyat. Impak kepada statusnya adalah kritikal lebih-lebih lagi jika mereka sebelum ini dilihat sebagai ikon dan menjadi contoh kepada masyarakat.

Baru-baru ini perkara tersbut telah menimpa John Terry, ketua pasukan England dan Chelsea apabila beliau dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan model pakaian dalam,Vanessa Perroncel.Skandal seks tersebut menjadi lebih sensasi kerana Perroncel adalah bekas teman wanita rakan karibnya sendiri iaitu Wayne Bridge. Bridge adalah bekas pemain Chelsea dan mereka pernah pernah bermain dalam satu pasukan seketika dahulu. Terry dikatakan turut memberi wang kepada Perroncel untuk menggugurkan kandungan hasil hubungan mereka.

Isteri kepada Terry, Toni dipercayai telah membawa diri ke Dubai bersama anak kembar mereka akibat kecewa serta turut mengemukakan tuntutan cerai. Terry berdepan pelbagai masalah termasuk mungkin akan dilucutkan daripada menjadi ketua pasukan England.

Sebelum skandal Terry, seorang lagi ikon sukan iaitu bintang golf Tiger Woods juga telah terlibat dalam masalah yang sama dan mengalami kejatuhan yang mendadak dari segi imej dan pendapatannya.

Perkara sama yang dikongsi oleh Terry dan Woods adalah kedua mereka dilihat sebagai contoh kepada masyarakat dan kecurangan mereka adalah sangat luar dari jangkaan umum. Terry dianggap contoh baik sebagai pemimpin pasukan England serta pernah memenangi anugerah bapa contoh pada 2009, sementara Woods juga dikatakan sebagai suami yang baik dan penyayang serta cemerlang di arena golf.

Skandal seks ini dilihat sebagai tamparan bagi arena sukan kerana pelbagai kisah yang tidak menarik telah menimpa atlit-atlit sejak kebelakangan ini. Kes Woods dan Terry ini adalah antara yang ketara serta mencalarkan imej sukan. Kedua mereka seharusnya sedar apabila telah diberikan penghormatan dan anugerah di dalam sukan mereka hendaklah menjaga status mereka dengan baik supaya terus dipandang tinggi masyarakat.

Monday, February 1, 2010

Fungsi jenaka

Jenaka selalu dikaitkan dengan gelak tawa dan suasana riuh-rendah.
Dalam seharian, kita memang tidak lari dari mendengar jenaka atau membuat jenaka itu sendiri.
Tanpa disedari,jenaka sebenarnya mempunyai beberapa fungsi secara tidak langsung.

Jenaka adalah cara yang biasa digunakan untuk mengenali seseorang atau yang disebut ice breaking.Ini kerana jenaka itu bersifat ringan dan santai. Apabila menggunakan jenaka sebagai medium perkenalan, secara sendirinya kita akan berasa lebih selesa dan kurang kekok. Dengan cara ini juga, perasaan segan-segan akan kurang dan kita akan berasa lebih dekat dengan seseorang yang sebelum ini kita tidak pernah dikenali. Namun perlu dingatkan penggunaannya perlulah bersesuaian. Jenaka yang terlalu padat pada permulaan perkenalan mungkin akan memberi tanggapan bahawa kita adalah orang yang tidak serius. Pengunaannya perlulah berpada-pada.

Dalam perbualan dengan rakan-rakan juga unsur jenaka selalu digunakan. Jika kita telah lama mengenali seseorang, jenaka itu kadang-kala akan difahami oleh sekumpulan itu sahaja kerana ia berkait-kait dengan kehidupan masing-masing. Jenaka dilihat sebagai elemen wajib apabila mereka berkumpul dan berbual di warung-warung ataupun di mana-mana sahaja. Salah satu sebab mengapa jenaka sering digunakan ialah kerana ia dapat merapatkankan hubungan sesama rakan. Ia juga dilihat sebagai cara untuk kita mengubat tekanan samada di tempat kerja ataupun lain-lain. Namun perlu diawasi kandungan jenaka tersebut agar tidak melibatkan sensetiviti atau unsur peribadi. Jenaka yang berkaitan dengan tubuh badan rakan kita misalnya, memang kelakar bila digunakan. Tetapi apabila ianya digunakan selalu, akan menimbulkan perasaan marah kepada rakan tersebut. Jadi kita harus berhati-hati juga dalam memilih jenaka kerana apa yang dianggap biasa pada kita, mungkin mengguris perasaan orang lain.

Jenaka juga berfungsi sebagai hiburan di mana banyak saluran-saluran televisyen yang menerapkan elemen jenaka di dalam rancangan mereka. Rancangan-rancangan ini dapat mengumpul sesebuah keluarga di rumah dan mereka di mana mereka akan duduk dan bergelak tawa bersama-sama. Perkara ini dapat memeriahkan suasana sesebuah rumah itu dan secara tidak langsung ianya menjadi medium pergaulan antara sesebuah keluarga itu lantas mengelak daripada anak-anak terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat di luar sana. Namun terdapat juga beberapa rancangan yang dimana jenakanya tidak beberapa menjadi dan membuatkan kita menyampah. Mengambil program Raja Lawak sebagai contoh, ada di kalangan peserta-pesertanya yang dilihat terlalu mencuba di mana lawak itu tidak semula jadi serta nampak sangat dibuat-buat. Kadang-kala, meraka seakan-akan memaksa diri dan akhirnya hanya membuat lawak-lawak slapstick yang memualkan.

Kesimpulannya, jenaka sebenarnya mempunyai banyak fungsi samada ianya secara langsung ataupun secara tidak langsung. Jenaka memainkan peranannya tersendiri dalam mengeratkan hubungan sesama kita. Namun penggunaan jenaka juga ada hadnya dan terbatas dengan adab-adab jenaka itu sendiri. Kita haruslah pandai mengimbangnya agar tidak keterlaluan.