Thursday, February 25, 2010

langgar lari

25 Febuari
Jam menunjukkan kira-kira 15 minit selepas 12 pagi apabila saya dan rakan saya menuju pulang ke rumah.
Kami baru sahaja menghadiri majlis hari jadi seorang rakan di Shah Alam dan terasa sangat letih.
Apabila tiba di hadapan Crystal Crown Hotel Klang, jalan yang biasa kami gunakan dikerumuni oleh ramai orang dan kami tidak dibenarkan menggunakan jalan tersebut.
Dalam hati sudah boleh agak, pasti ada kematian berlaku akibat kemalangan, kerana jumlah yang berhenti menonton adalah sangat ramai.
Kami pun terus meletakkan kenderaan dan terus ke tempat kejadian.
Seorang lelaki berbangsa India kelihatan sedang terbaring di atas jalanraya dan ditutup oleh tuala putih.
Ya,dia sudah tidak bernyawa lagi.
Ketika kami di lokasi, ambulans dan polis belum tiba lagi menandakan bahawa kemalangan baru sahaja berlaku.
Motor mangsa tercampak jauh dari mayat yang dipercayai terseret akibat perlanggaran dengan sebuah kereta yang telah melarikan diri.
Menurut sumber, lelaki berkenaan dikatakan baru sahaja selesai bermain futsal dan menunggang motor untuk ke kedai.
Rakan-rakannya menjadi hairan apabila beliau tidak tiba, dan akhirnya menjumpai dia terbaring di situ.
Setelah beberapa seketika,saya mencapai kamera DSLR di dalam kereta dan menangkap beberapa gambar di tempat kejadian.
Tidak lama kemudian, keluarga mangsa tiba dengan berkaki ayam.
Keadaan menjadi hiba apabila keluarga mangsa meraung kesedihan.
Polis dan ambulans tiba dan orang ramai diarahkan supaya memberikan ruang untuk mereka melakukan kerja.
Setelah memerhati sedikit sebanyak,saya dan rakan saya menyambung perjalanan pulang kerana ingin mengulang kaji untuk mid term test pagi itu.


No comments:

Post a Comment