Monday, February 8, 2010

Uniknya Malaysia

Bayangkan anda baru sahaja turun dari kapal terbang dan menjejakkan kaki di negara China. Apakah yang anda dapat perhatikan? Bagaimanakah suasana yang dapat anda rasakan? Adakah persamaan atau perbezaan yang dapat dikesan oleh anda dalam masa sedetik itu? Mungkin ianya berbeza.Ini kerana setiap komuniti di ceruk-ceruk setiap negara mempunyai keunikan tersendiri. Setiap negara mempunyai identiti dan imej masing-masing. Malaysia, tanah air kita juga mempunyai identiti dan imej yang unik berbanding negara-negara lain.Pelancong daripada negara lain juga akan merasakan benda yang sama juga apabila memijak bumi Malaysia buat kali pertama. Mereka akan kagum serta terpesona dengan kelainan negara kita ini.

Keunikan utama yang dapat diperhatikan secara jelas adalah negara Malaysia sebagai negara berbilang bangsa. Corak bangsa di Malaysia yang jelas adalah 3 bangsa iaitu Melayu, India dan Cina. Selain daripada 3 bangsa majoriti tersebut, banyak lagi kaum-kaum lain serta etnik-etnik yang pelbagai menghuni negara ini. Perkara ini tidak dapat dilihat di negara lain seperti China misalnya, rata-rata penduduknya adalah berbangsa sama iaitu China. Apa yang membuatkan ianya unik adalah penduduk berbilang kaum di Malaysia ini menjumpai jalan dan cara bagaimana untuk hidup dalam harmoni walaupun berbeza fahaman serta agama. Perkara ini adalah penting dalam pembentukan sesebuah negara kerana kerjasama antara bangsa boleh diumpamakan seperti cerucuk besi yang menguatkan tiang sesebuah negara.

Perpaduan antara kaum dapat dilihat dengan ketara apabila tibanya musim perayaan seperti Hari Raya, Krismas, Deepavali mahupun perayaan tahun baru cina. Apabila tibanya salah satu daripada perayaan tersebut, setiap sudut dan ceruk di Malaysia menjadi meriah dan ceria. Kadang-kala rasa seperti semua kaum turut merayakan perayaan kaum lain. Sebagai contoh, banyak masyarakat-masyarakat lain seperti India yang berbangsa Hindu atau Kristian turut mengunjungi rumah masyarakat Melayu ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri. Ini tidak menjadi kesalahan kerana mereka tidak melanggar hukum-hukum agama malah dilihat sebagai amalan mulia yang merapatkan masyarakat.




Kecuali agama, banyak perkara-perkara lain boleh dianggap sebagai perkongsian budaya antara masyarakat Malaysia. Contohnya roti canai dan kari telah menjadi santapan setiap bangsa walaupun rata-rata yang menyediakannya adalah kaum India, ketupat dan lemang turut diminati oleh kaum-kaum lain selain Melayu, senaman Taichi bukan lagi dipraktikkan oleh kaum Cina sahaja. Masyarakat Malaysia sebenarnya secara tidak langsung berkongsi budaya dengan kaum-kaum lain. Ianya bukan budaya Cina,budaya India mahupun budaya Melayu. Ia dipanggil “Budaya Malaysia” . Ini kerana mereka telah membentuk budaya baru dalam masyarakat Malaysia yang boleh dikongsi bersama.

Jika diperhatikan di kawasan-kawasan kampung misalnya, kanak-kanak Melayu, Cina dan India tidak mengamalkan isu perkauman dalam diri mereka. Meraka bermain bola bersama-sama, pergi memancing sama-sama dan makan bersama-sama. Kredit harus diberikan kepada ibubapa mereka yang tidak melihat perbezaan kaum juga sebagai halangan untuk berkawan. Mungkin pada individu kanak-kanak itu sendiri, mereka masih kecil untuk mempunyai perasaan perkauman serta tidak cukup matang untuk memikirkan soal perbezaan jati diri. Namun perkara inilah yang menjadikan kanak-kanak tersebut begitu mesra dan tidak segan untuk bercampur dengan bangsa lain. Perkara ini bila dididik sejak kecil, ianya akan menjadi lali apabila sudah dewasa kelak. Perpaduan kaum haruslah diterap sejak kecik lagi.

Perdana menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak sejak dilantik sebagai pemimpin negara telah memperlihatkan usaha untuk merapatkan lagi bangsa-bangsa di negara ini dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia. Konsep 1Malaysia yang membawa slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” adalah satu langkah yang dilihat dapat mengekalkan keharmonian antara kaum di Malaysia. Isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama masing-masing haruslah ditangani dengan baik demi keamanan bersama.

Tidakkah anda terasa bangga apabila berjalan-jalan di taman perumahan anda, anda terlihat orang Melayu dan Cina bermain bola bersama-sama di padang. Berjalan ke depan lagi anda terserempak dengan seorang India yang sedang menolong membaiki kereta jirannya yang berbangsa Singh. Kemudian ternampak pula anak-anak kecil berbeza-beza bangsa bermain pasir bersama-sama. Pemandangan-pemandangan indah tersebut menggambarkan apa itu Malaysia sebenarnya. Jadi lupakan sahaja niat anda untuk terbang ke negara China seperti di perenggan awal tadi dan nikmatilah keindahan negara sendiri dahulu. Bak kata pepatah “Hujan emas di negeri orang,hujan batu di negri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri”

No comments:

Post a Comment