Monday, February 1, 2010

Fungsi jenaka

Jenaka selalu dikaitkan dengan gelak tawa dan suasana riuh-rendah.
Dalam seharian, kita memang tidak lari dari mendengar jenaka atau membuat jenaka itu sendiri.
Tanpa disedari,jenaka sebenarnya mempunyai beberapa fungsi secara tidak langsung.

Jenaka adalah cara yang biasa digunakan untuk mengenali seseorang atau yang disebut ice breaking.Ini kerana jenaka itu bersifat ringan dan santai. Apabila menggunakan jenaka sebagai medium perkenalan, secara sendirinya kita akan berasa lebih selesa dan kurang kekok. Dengan cara ini juga, perasaan segan-segan akan kurang dan kita akan berasa lebih dekat dengan seseorang yang sebelum ini kita tidak pernah dikenali. Namun perlu dingatkan penggunaannya perlulah bersesuaian. Jenaka yang terlalu padat pada permulaan perkenalan mungkin akan memberi tanggapan bahawa kita adalah orang yang tidak serius. Pengunaannya perlulah berpada-pada.

Dalam perbualan dengan rakan-rakan juga unsur jenaka selalu digunakan. Jika kita telah lama mengenali seseorang, jenaka itu kadang-kala akan difahami oleh sekumpulan itu sahaja kerana ia berkait-kait dengan kehidupan masing-masing. Jenaka dilihat sebagai elemen wajib apabila mereka berkumpul dan berbual di warung-warung ataupun di mana-mana sahaja. Salah satu sebab mengapa jenaka sering digunakan ialah kerana ia dapat merapatkankan hubungan sesama rakan. Ia juga dilihat sebagai cara untuk kita mengubat tekanan samada di tempat kerja ataupun lain-lain. Namun perlu diawasi kandungan jenaka tersebut agar tidak melibatkan sensetiviti atau unsur peribadi. Jenaka yang berkaitan dengan tubuh badan rakan kita misalnya, memang kelakar bila digunakan. Tetapi apabila ianya digunakan selalu, akan menimbulkan perasaan marah kepada rakan tersebut. Jadi kita harus berhati-hati juga dalam memilih jenaka kerana apa yang dianggap biasa pada kita, mungkin mengguris perasaan orang lain.

Jenaka juga berfungsi sebagai hiburan di mana banyak saluran-saluran televisyen yang menerapkan elemen jenaka di dalam rancangan mereka. Rancangan-rancangan ini dapat mengumpul sesebuah keluarga di rumah dan mereka di mana mereka akan duduk dan bergelak tawa bersama-sama. Perkara ini dapat memeriahkan suasana sesebuah rumah itu dan secara tidak langsung ianya menjadi medium pergaulan antara sesebuah keluarga itu lantas mengelak daripada anak-anak terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat di luar sana. Namun terdapat juga beberapa rancangan yang dimana jenakanya tidak beberapa menjadi dan membuatkan kita menyampah. Mengambil program Raja Lawak sebagai contoh, ada di kalangan peserta-pesertanya yang dilihat terlalu mencuba di mana lawak itu tidak semula jadi serta nampak sangat dibuat-buat. Kadang-kala, meraka seakan-akan memaksa diri dan akhirnya hanya membuat lawak-lawak slapstick yang memualkan.

Kesimpulannya, jenaka sebenarnya mempunyai banyak fungsi samada ianya secara langsung ataupun secara tidak langsung. Jenaka memainkan peranannya tersendiri dalam mengeratkan hubungan sesama kita. Namun penggunaan jenaka juga ada hadnya dan terbatas dengan adab-adab jenaka itu sendiri. Kita haruslah pandai mengimbangnya agar tidak keterlaluan.

No comments:

Post a Comment