Wednesday, February 3, 2010

Skandal seks ikon sukan

Cerita mengenai hubungan sulit seseorang mungkin adalah perkara lama serta dianggap biasa.Namun apabila ianya melibatkan sesorang yang berprofil tinggi, perkara ini menjadi tatapan saentero dunia dan menyebabkan si pelaku curang mengalami kesan yang dahsyat. Impak kepada statusnya adalah kritikal lebih-lebih lagi jika mereka sebelum ini dilihat sebagai ikon dan menjadi contoh kepada masyarakat.

Baru-baru ini perkara tersbut telah menimpa John Terry, ketua pasukan England dan Chelsea apabila beliau dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan model pakaian dalam,Vanessa Perroncel.Skandal seks tersebut menjadi lebih sensasi kerana Perroncel adalah bekas teman wanita rakan karibnya sendiri iaitu Wayne Bridge. Bridge adalah bekas pemain Chelsea dan mereka pernah pernah bermain dalam satu pasukan seketika dahulu. Terry dikatakan turut memberi wang kepada Perroncel untuk menggugurkan kandungan hasil hubungan mereka.

Isteri kepada Terry, Toni dipercayai telah membawa diri ke Dubai bersama anak kembar mereka akibat kecewa serta turut mengemukakan tuntutan cerai. Terry berdepan pelbagai masalah termasuk mungkin akan dilucutkan daripada menjadi ketua pasukan England.

Sebelum skandal Terry, seorang lagi ikon sukan iaitu bintang golf Tiger Woods juga telah terlibat dalam masalah yang sama dan mengalami kejatuhan yang mendadak dari segi imej dan pendapatannya.

Perkara sama yang dikongsi oleh Terry dan Woods adalah kedua mereka dilihat sebagai contoh kepada masyarakat dan kecurangan mereka adalah sangat luar dari jangkaan umum. Terry dianggap contoh baik sebagai pemimpin pasukan England serta pernah memenangi anugerah bapa contoh pada 2009, sementara Woods juga dikatakan sebagai suami yang baik dan penyayang serta cemerlang di arena golf.

Skandal seks ini dilihat sebagai tamparan bagi arena sukan kerana pelbagai kisah yang tidak menarik telah menimpa atlit-atlit sejak kebelakangan ini. Kes Woods dan Terry ini adalah antara yang ketara serta mencalarkan imej sukan. Kedua mereka seharusnya sedar apabila telah diberikan penghormatan dan anugerah di dalam sukan mereka hendaklah menjaga status mereka dengan baik supaya terus dipandang tinggi masyarakat.

No comments:

Post a Comment