
Orphan lakonan Vera Farmiga, Peter Sarsgaard, Isabelle Fuhrman, dan Jimmy Bennet adalah sebuah filem seram,meruntun psikologi, mendebarkan serta penuh dengan adegan-adegan cemas.
Karya Jaume Collet-Serra ini mengisarkan tentang sepasang suami isteri yang membuat keputusan untuk mengambil anak angkat setelah mengalami kehilangan bayi dalam kandungan mereka. Esther, budak perempuan berumur 9 tahun yang diambil menjadi anak angkat mereka tersebut adalah seorang budak yang penuh dengan misteri.Kehadirannya dalam keluarga tersebut jelas adalah permulaaan bagi episod hitam yang bakal melanda.
Filem ini adalah filem yang tergolong dalam kategori psychological thriller di mana ia mengangkat watak kanak-kanak sebagai watak jahat serta tidak berhati perut. Walaupun telah ada beberapa filem yang seakan-akan serupa dengan filem ini, Orphan jelas mempunyai kekuatan sendiri.
Dari segi lakonan,lakonan Isabella Fuhrman sebagai Esther memberi impak yang cukup besar. Walaupun masih kecil, beliau jelas menjiwai watak dan melakonkannya dengan baik. Penonton pasti berasa geram melihat wajah comel sebegitu berkelakuan kejam tanpa belas kasihan. Isabella berjaya bermain dengan ekpresi muka manis,matang,dingin yang bertukar-tukar dalam waktu-waktu yang berbeza.Perkara ini sangat memberi kesan terhadap jalan ceritanya. Lakonan oleh aktor dan aktres lain turut boleh dibanggakan namun yang betul-betul boleh diberi pujian tinggi adalah Isabella.
Dari segi jalan cerita pula, Jaume Collet telah berjaya mengekalkan sebuah plot yang memberi ketegangan berkekalan sepanjang cerita. Tidak seperti filem thriller biasa, Orphan mempunyai jalinan plot yang membuatkan penonton tertanya-tanya dan berdebar-debar. Walaupun ada sedikit plot boleh diagak, namun ia tetap membuat penonton cemas dan terkejut kerana adegan-adegan suspens tersebut dimasukkan pada waktu yang tidak disangka-sangka.Jaume Collet seolah-olah dapat memperdaya penonton tentang apa yang dijangkakan oleh mereka.Secara keseluruhan, elemen ketegangan berjaya dikekalkan dari mula sehingga hujung filem dan ia adalah penting bagi sebuah filem thriller.
Pengakhiran atau ending filem ini juga begitu ironi dan twisting sekali. Ia boleh membuat sesetengah penonton bengang namun memberi kelainan dan impak tersendiri.
Dari aspek kelemahan pula,bagi saya Jaume Collet telah tercicir untuk membiarkan penonton mendalami watak Esther dengan ketiadaan penjelasan lanjut terhadap siapakah Eshter itu sebenarnya. Namun ini mungkin helah Jaume Collet untuk membiarkan penonton tertanya-tanya. Tetapi bagi saya ia tetap tidak cukup, penjelasan tentang watak Eshter harus diperkemaskan lagi.
Secara keseluruhan, Orphan adalah sebuah filem thriller yang berbaloi untuk ditonton lebih-lebih lagi bagi penggemar filem thriller. Ia mempunyai kekuatan tersendiri yang membezakannya dengan filem-filem biasa lain dan tidak rugi untuk dijadikan koleksi peribadi.

No comments:
Post a Comment