Tuesday, January 26, 2010

Gaya pemainan Rafa yang memakan diri

Melbourne,Australia - Pilihan kedua kejohanan terbuka Australia, Rafael Nadal menarik diri pada peringkat suku akhir gara-gara kecederaan lutut. Beliau memutuskan untuk berbuat demikian setelah ketinggalan 2 set kosong dan 3-0 pada set ketiga kepada lawannya, Andy Murray dari Britain. Setelah tewas pada game ketiga untuk kedudukan 3-o, Nadal bergegas ke jaring untuk mengucap tahniah dan memeluk lawannya tanda tidak akan meneruskan lagi permainan. Kecederaan Nadal ini adalah anti-klimaks kepada perlawanan suku akhir kejohanan terbuka Autralia yang disebut-sebut bakal menjadi perlawanan klasik kerana menemukan dua pemain dalam kelas tersendiri.

Sekali lagi gaya permainan Nadal menjadi benteng terhadap kemaraan beliau. Rafael Nadal terkenal dengan permainan fizikal yang mengerah tenaga. Ini adalah senjata beliau dan berbekalkan gaya permainan tersebut, beliau berjaya mendaki ranking dunia dengan pantas sehingga pernah menggugat kedudukan Roger Federer selaku pemain tenis nombor satu dunia seketika dahulu. Berbeza dengan corak permainan Federer yang dilihat artistik, Nadal bergantung pada kekuatan dan kelajuan dalam memenangi mata. Namun corak permainan fizikal Nadal ini dilihat memberi kesan sampingan terhadap kecergasan beliau. Kecederaan yang menghantui beliau ini menjadi punca prestasinya merudum sejak akhir-akhir ini.

Nadal mampu menahan kesakitan, namun tubuhnya tidak. Beliau terpaksa membayar dengan harga yang mahal akibat memilih gaya permainan yang sangat fizikal ini. Kecederaan tersebut berlaku secara kerap dan timbul persoalan tentang berapa lama beliau mampu bertahan dalam arena tenis. Pada umur 23, Nadal dianggap sangat muda dan kecederaan ini menjadikan peminat-peminat tenis seluruh dunia terkilan kerana beliau adalah pemain tenis berbakat besar serta menjadi tumpuan pada mana-mana kejohahan.

No comments:

Post a Comment