Sunday, January 24, 2010

Kemodenan membawa kecelaruan?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bagi minggu ini saya ditugaskan untuk memberi komen berkenaan dengan penyataan di bawah.

"Manusia adalah sebaik-baik kejadian walaupun dicipta dari tanah. Manusia juga dicipta sebagai khalifah yang mempunyai akal untuk berfikir. Tetapi mengapa semakin modennya dunia ini, semakin celaru seseorang manusia itu"


Pertama sekali saya ingin menekankan tentang peranan kita sebagai manusia di muka bumi berlandaskan surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud :

"“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui"

Surah di atas menerangkan peranan manusia dan secara ringkasnya, peranan manusia adalah menjadi khalifah yakni pemimpin yang memimpin dan mentadbir alam dengan prinsip-prinsip Islam. Manusia juga dijadikan supaya menghambakan diri mereka kepada Allah dengan melakukan segala amalan yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Berbalik kepada persoalan mengapa semakin modennya dunia ini, semakin celarunya seseorang manusia itu. Bagi pendapat saya perkara paling utama yang menyumbang kepada fenomena ini adalah kerana manusia sebenarnya tidak mengikut ajaran Islam dengan betul. Kemodenan dunia tidak akan menyebabkan kecelaruan jika unsur-unsur Islam diterap dengan baik dalam kehidupan seharian.Jika dilihat dewasa ini, masalah sosial semakin meruncing dan bagai tidak dapat dibendung lagi akibat kemodenan dunia.

Internet sebagai sebagai contoh, adalah medium yang merbahaya jika disalahgunakan. Jika dahulu penggunaan internet adalah agak terhad, zaman sekarang kebanyakan keluarga masyarakat moden sudah mampu untuk memiliki akses kepada internet akibat dari proses permodenan yang mendadak. Jadi permodenan ini sebenarnya dilihat sebagai ancaman kepada anak-anak muda yang mindanya penuh dengan perasan ingin tahu dan betapa dunia itu tiada sempadannya kerana semuanya dihujung jari.

Permodenan juga menyumbang kepada kecelaruan apabila rata-rata pemimpin zaman sekarang tidak mempunyai asas agama yang kukuh. Pemimpin memainkan peranan yang penting bagi mewujudkan masyarakat yang makmur. Jika isteri pemimpin pun pakai tudung tak betul, bagaimana mahu menjadi contoh kepada rakyat? Kepimpinan sesebuah negara adalah asas kemajuan sesebuah negara itu samada dari aspek rohani atau jasmani.

Proses permodenan juga sarat dengan penciptaan alat-alat baru yang kononnya memberi faedah dan kebaikan kepada manusia. Namun akibat tidak menerapkan unsur-unsur Islam dalam diri serta tidak menggunakan akal dengan baik, alat-alat ini semua akhirnya akan mengusai diri dan menyebabkan manusia lalai dari menunaikan kewajipan. Ini sedikit sebanyak menimbulkan kecelaruan kepada manusia tentang tugas mereka diturunkan ke muka bumi ini sebenarnya. Sebagai contoh mereka akan leka menonton perlawanan bolasepak dan terlupa untuk menunaikan solat.

Masyarakat barat juga menerapkan pelbagai bawaan yang tidak sihat seiring dengan kemajuan teknologi. Mentaliti masyarakat moden ini dilihat sebenarnya kembali ke arah kuno. Sebagai contoh, zaman dahulu manusia hanya mengenakan sedikit kain sebagai pakaian. Dari zaman ke zaman, teknik pemakaian tersebut dilihat semakin bertamadun apabila lebih banyak kain digunakan sebagai pakaian. Namun pada zaman moden kini, kita seakan-akan kembali ke zaman purba dan kuno apabila rata-rata masyarakat mengenakan pakaian yang mendedahkan aurat. Masyarakat barat ini sebenarnya terlalu pincang dari aspek agama jika kes yang terjadi baru-baru ini dijadikan tanda aras di mana seorang gadis di London menyatakan hasratnya untuk mengahwini komputer riba miliknya serta direstui pula oleh ibunya sendiri. Disini boleh dilihat betapa celarunya manusia akibat disogokkan dengan segala kemodenan tanpa garis panduan yang baik.


Kesimpulanya, kemodenan tidak sepatutnya menimbulkan kecelaruan kepada manusia. Kita sebagai manusia haruslah ingat tujuan kita diturunkan ke muka bumi ini. Kemodenan sebaliknya haruslah membantu kita dalam menunaikan kewajiban kepada Allah. Sebagai contoh, aplikasi telefon bimbit yang memuatkan surah-surah serta hadis-hadis menyenangkan kita untuk membuat amalan.Kemodenan tidak membawa apa-apa maksud jika manusia tidak menggunakan akal dengan baik. Manusia tanpa akal hanyalah seperti haiwan, cuma gemar bersosial.Budaya zaman sekarang sudah terlalu lali dengan kecelaruan dan ianya sudah dianggap biasa serta boleh diterima. Jika kita tidak dapat mengubah budaya tersebut,kita haruslah membina budaya sendiri.

Sekian.Assalamualaikum

No comments:

Post a Comment